Berita Dan Aktiviti PKS

23 Jul 2026

PKS DAN SCV PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK DEMI PEMBANGUNAN BAKAT DAN INOVASI DIGITAL

22 JULAI 2026 | RABU
Politeknik Kuching Sarawak (PKS) dan Sarawak Cultural Village (SCV) terus memperkukuh kerjasama strategik menerusi pertukaran Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) yang berlangsung sempena Majlis Penutupan Program Ikon Siarawan POLYCC 2026 hari ini.
Pertukaran Surat Hasrat tersebut melibatkan Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, En. Mohamad Nazri bin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kampung Budaya Sarawak, Puan Jane Lian Labang serta disaksikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC). Kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh kolaborasi strategik bagi pembangunan bakat, inovasi digital dan pembelajaran berasaskan industri.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Interactive SCV Website with AI yang dibangunkan hasil kolaborasi antara PKS dan SCV. Pembangunan laman web ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan projek inovasi KayoKayo Trip oleh pelajar Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) PKS, Angel anak Jambrose dan Mohd Nur Rahimi bin Abdul Razak, sekali gus membuka peluang kepada pelajar menjalani latihan industri di SCV serta menyumbang kepada transformasi digital dalam sektor pelancongan.
Selain itu, PKS turut menyokong penganjuran Sarawak Harvest Folklore Festival (SHFF) 2026 menerusi penglibatan pensyarah, pelajar dan sukarelawan. Kolaborasi ini membuktikan bahawa sinergi antara institusi pendidikan dan industri mampu memperkasa pembangunan bakat, memacu inovasi serta menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan di Sarawak.
Semoga kerjasama strategik ini terus berkembang melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi, sekali gus memperkukuh peranan TVET dalam melahirkan graduan yang kompeten, inovatif dan memenuhi keperluan industri.
Foto: Mohamad Hadzli bin Othman (UIDM)