Berita Dan Aktiviti PKS

27 Apr 2026

MAJLIS PERASMIAN SARAWAK ROCKETEER CAN-SAT CHALLENGE 2026

Program Sarawak Rocketeer Can-Sat Challenge 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 25 hingga 26 April 2026 bertempat di Padang Politeknik Kuching Sarawak. Program ini menghimpunkan pelajar sekolah menengah sekitar Kuching dalam platform pembelajaran berteraskan STEM yang interaktif, mencabar dan berimpak tinggi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Abdullah bin Haji Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) merangkap Setiausaha Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Tuan Haji Udin bin Bujang serta Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, Encik Mohamad Nazri bin Ismail.
Program anjuran TEGAS ini bertujuan merapatkan jurang pendidikan STEM antara bandar dan luar bandar di Sarawak serta mencungkil bakat muda dalam bidang sains dan teknologi, khususnya teknologi angkasa dan roket.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus menyemai minat terhadap bidang STEM serta melahirkan generasi masa depan yang kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran teknologi global.
Komitmen sukarelawan Politeknik Kuching Sarawak yang terdiri daripada JPP, PISPA dan Askar Wataniah turut membantu memastikan kelancaran program sepanjang penganjuran.