25
Sep
2026
PKS KUNJUNGI JKPTG SARAWAK, BINCANG CADANGAN PEMBINAAN STESEN CORS
𝟐𝟒 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐊𝐇𝐀𝐌𝐈𝐒
Politeknik Kuching Sarawak (PKS) hari ini mengadakan satu kunjungan hormat ke atas Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Negeri Sarawak bagi membincangkan cadangan pembinaan dan pengoperasian Continuous Operating Reference Station (CORS) di tapak PKS. Delegasi PKS diketuai oleh Pengarah, Encik Mohamad Nazri bin Ismail, bersama Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Encik Mohd. Saiful Fadli bin Maidin, dan Ketua Program Diploma Geomatik, Encik Stuart Otto Anak Wilson Munan.
Rombongan tersebut disambut oleh Pengarah JKPTG Negeri Sarawak, Encik Mohamad Khairul Hafiz bin Juni, bersama Penolong Pengarah, Puan Naztassia binti Yusop, serta tiga Penolong Pegawai Tanah iaitu Encik Mohamad Zaidi bin Rajaie, Encik Mohamad Nashriq bin Sawi, dan Puan Dayang Zaleha binti Abang Jawi Mostapha.Turut menyertai perbincangan berkenaan ialah wakil Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) yang diwakili oleh Juruukur Kanan, Encik Mohamad Iskandar bin Mohamad Usop dan Penolong Juruukur Kanan, Encik Nicholas Anak Jaochim.
Antara aspek utama yang diperincikan dalam pertemuan tersebut merangkumi proses kelulusan penggunaan tapak, penyediaan dokumen dan perjanjian rasmi, serta syarat-syarat pentadbiran tanah yang berkaitan. Hasil kunjungan ini membolehkan kedua-dua pihak mengenal pasti langkah susulan dan syarat perundangan yang perlu dipatuhi agar pelaksanaan stesen CORS dapat dijalankan mengikut tatacara dan mekanisme yang ditetapkan.




