Berita Dan Aktiviti PKS

24 Nov 2026

PKS TERIMA KUNJUNGAN DELEGASI JPN SARAWAK BAGI LAWATAN PENANDAARASAN AKPANS 2026

 

𝟐𝟒 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐒𝐀
Politeknik Kuching Sarawak (PKS) berbesar hati apabila dipilih oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak sebagai lokasi Program Lawatan Penandaarasan Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) Tahun 2026, hari ini.
Ketibaan delegasi seramai 21 orang pegawai dan kakitangan JPN Sarawak disambut mesra oleh Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PKS, Encik Mohd Saiful Fadli bin Maidin bersama barisan pegawai PKS.
Delegasi JPNS berkenaan diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak, Puan Vivien Sipain selaku fasilitator bersama penyelaras program, Puan Anne Nur Ain Charles Abdullah. Turut menyertai lawatan tersebut ialah barisan ketua, wakil ketua dan ahli jawatankuasa Pasukan Inspektorat Tempatan (PIT) 1 hingga 9 serta urusetia daripada pelbagai bahagian JPNS.
Program lawatan penandaarasan tersebut merupakan inisiatif penambahbaikan berterusan di bawah pelaksanaan AKPANS oleh pihak JPNS. Kunjungan ini bertujuan mendapatkan perkongsian ilmu mengenai pelaksanaan AKPANS di PKS, di samping membuka ruang pertukaran amalan terbaik ke arah memperkukuh pengurusan kualiti dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.
Pemilihan PKS sebagai destinasi rujukan membuktikan komitmen berterusan dalam membudayakan pengurusan berkualiti serta menjadi penanda aras kepada agensi sektor awam yang lain.
Foto: Mohamad Hadzli bin Othman (UIDM)

Accessibility Toolbar