20
Nov
2025
ANUGERAH EMAS UNTUK POLITEKNIK KUCHING SARAWAK BAGI KATEGORI AGENSI PERSEKUTUAN SEMPENA HARI PERKHIDMATAN AWAM NEGERI SARAWAK TAHUN 2025
Politeknik Kuching Sarawak (PKS) memperoleh Anugerah Emas dalam Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS-Kategori Jabatan/Agensi Persekutuan) yang telah diumumkan pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Tahun 2025 yang telah diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada hari ini.
PKS membawa pulang hadiah kemenangan sebuah trofi dan wang tunai berjumlah RM20,000. Terdahulu pada tahun 2022 PKS telah merangkul Anugerah Perak bagi Anugerah Premier Sarawak. Kejayaan ini membuktikan bahawa pengurusan kualiti & tadbir urus yang dilaksanakan di PKS berada pada tahap yang cemerlang demi menjamin pengoperasian PKS agar kekal unggul sebagai sebuah institusi pendidikan TVET yang utuh.
Kejayaan meraih Anugerah Emas ini memberi impak besar kepada reputasi dan kedudukan Politeknik Kuching Sarawak sebagai institusi TVET terkemuka di rantau ini. Pengiktirafan pada peringkat negeri ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan seperti industri, komuniti, dan rakan strategik terhadap keupayaan PKS, malah memperkukuh kepercayaan pelajar serta ibu bapa terhadap mutu pendidikan yang ditawarkan. Anugerah ini juga menjadi penanda aras baharu dalam usaha penambahbaikan berterusan, seterusnya membuka lebih banyak peluang kerjasama, penjenamaan, serta pengukuhan sistem pengurusan kualiti PKS pada masa hadapan.
Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk seluruh warga kerja PKS berkhidmat dengan lebih cemerlang dan menyumbang kepada pembangunan modal insan yang lebih bermutu.
Sumber: Unit Jaminan Kualiti



