26
Oct
2026
PENYERAHAN APLIKASI D`NAP KVM : PEMINDAHAN TEKNOLOGI GEOMATIK KE KOLEJ VOKASIONAL MATANG
Politeknik Kuching Sarawak (PKS) telah melaksanakan penyerahan aplikasi D’NAP KVM (Datum Navigation Application) kepada Kolej Vokasional Matang (KVM) pada sebagai inisiatif pemindahan ilmu dan teknologi dalam bidang Geomatik kepada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Majlis penyerahan tersebut telah dihadiri oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam dan Ketua Program dari Jabatan Kejuruteraan Awam, PKS. Aplikasi tersebut telah diterima oleh Tuan Haji Jamali bin Muhamad, Pengarah Cemerlang Kolej Vokasional Matang, bersama-sama Ketua Jabatan serta Ketua Program Jabatan Teknologi Pembinaan, KVM.
D’NAP KVM dibangunkan bagi memudahkan pengguna mengakses maklumat datum ukur melalui aplikasi navigasi yang membantu dalam pencarian titik datum serta mendapatkan maklumat berkaitan koordinat, jarak, arah dan ketinggian. Inisiatif ini merupakan pengembangan aplikasi D’NAP yang dibangunkan di PKS untuk menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta amalan kerja ukur di institusi TVET.
Pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat memperkukuh perkongsian kepakaran antara institusi, memperluas penggunaan teknologi digital dalam pendidikan Geomatik dan meningkatkan keupayaan pelajar mengaplikasikan pengetahuan teknikal dalam situasi sebenar.
Penyerahan ini turut mencerminkan komitmen PKS dalam memperkasa inovasi, memperluas jaringan kerjasama strategik dan menyokong agenda pemerkasaan TVET melalui pemindahan teknologi yang memberi manfaat kepada institusi pendidikan.
Sumber: JKA


