5
Oct
2026
ISBMC ’26 MELABUHKAN TIRAI; ASAH BAKAT BELIA DALAM BIDANG STEM DAN TVET
Acara berprestij International Sarawak Bridge & Mapping Challenge 2026 (ISBMC ’26) secara rasminya telah melabuhkan tirainya hari ini dalam satu majlis penutupan penuh gemilang di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching Sarawak.
Majlis penutupan tersebut telah disempurnakan oleh Puan Sharifah Fariah binti Syed Junaidi, Ketua Bahagian Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), yang hadir mewakili Menteri MEITD, YB Dato Sri Roland Sagah Wee Inn. Dalam ucapannya, penganjuran ISBMC ’26 bukan sekadar sebuah pertandingan kejuruteraan dan pemetaan, malah telah berkembang menjadi sebuah ekosistem pembelajaran bertaraf antarabangsa. Beliau turut menekankan bahawa program ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak dalam memperkasa aliran STEM dan TVET bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi. Turut hadir menyerikan majlis ialah Pengarah Politeknik Kuching Sarawak merangkap Penganjur ISBMC ’26, Encik Mohamad Nazri bin Ismail; Juruukur Kanan Lembaga Jurukur Tanah Sarawak, Sr Kudie anak Sandak; Pengerusi Persatuan Alumni PKS, Puan Nurazura binti Rali; serta Ketua Juri ISBMC ’26 dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Madya Ir. Dr. Abdul Razak Abdul Karim.
Pihak penganjur mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang dan peserta yang telah mempamerkan mutu inovasi serta semangat kesukanan yang tinggi sepanjang dua hari program berlangsung.
Foto: Mohamad Hadzli bin Othman (UIDM)

















