Berita Dan Aktiviti PKS

15 Sep 2026

PROGRAM JIWA@KOMUNITI SEMARAKKAN PATRIOTISME WARGA POLITEKNIK KUCHING SARAWAK

𝟏𝟒 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐈𝐒𝐍𝐈𝐍

Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Program JIWA@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Politeknik Kuching Sarawak (PKS) sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, Encik Mohamad Nazri bin Ismail berbesar hati menyambut kehadiran menteri bersama-sama warga kerja dan para pelajar Politeknik Kuching Sarawak turut serta dalam progam ini bertujuan untuk mendekati golongan muda melalui pengisian kenegaraan secara bersemuka, sekali gus menyemarakkan lagi patriotisme, memperkukuh jati diri dan meningkatkan pemahaman mengenai inisiatif semasa kerajaan. Antara pengisian program termasuk pertandingan deklamasi sajak, tayangan wayang pacak filem Kanang Anak Langkau, Festival Patriotika, sesi perkongsian bersama tokoh penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB), kuiz kenegaraan dan persembahan kebudayaan oleh PENTARAMA.
Turut diadakan, Kempen Internet Selamat serta pelantikan lima pelajar sebagai Wira Internet Selamat yang akan membimbing rakan sebaya tentang keselamatan dan etika penggunaan Internet serta menggalakkan penggunaan media sosial secara lebih selamat dan berhemah. YB Dato’ Seri Fahmi turut melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) melibatkan kenderaan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi yang akan menjelajah sekitar bandar raya Kuching. Konvoi ini juga akan menyerahkan kit Jalur Gemilang melalui inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) kepada kluster industri dan sukan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah JAPEN, Encik Erwin Khairul Ahmad dan Pengarah JAPEN Sarawak, Encik Sabri Said.
Foto oleh: Mohamad Hadzli bin Othman