Berita Dan Aktiviti PKS

30 May 2022

MEITD SARAWAK DAN POLITEKNIK KUCHING SARAWAK BEKERJASAMA DALAM PROGRAM “TVET STUDENTS TO DO COMMUNITY WORKS” BANTU KELUARGA eKASIH KAMPUNG SEKAMBAL, LUNDU

LUNDU, 28 Mei 2022 – Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak dan Politeknik Kuching Sarawak (PKS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Lundu telah berjaya menganjurkan program “TVET Students To Do Community Works” di Kampung Sekambal, Lundu, Sarawak pada 24-28 Mei 2022.
Program outreach ini dilaksanakan oleh gabungan pelajar, pensyarah dan kakitangan PKS membantu komuniti disamping mempromosi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui aktiviti sukarelawan dengan mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran ke lapangan sebenar melibatkan kerja-kerja pendawaian elektrik dan kerja-kerja pembaikan kecil awam melibatkan 17 buah rumah terpilih dari kalangan penerima bantuan e-Kasih.
Antara yang terlibat adalah para pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (DEE), Diploma Kejuruteraan Awam (DKA) dan Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan (DPB) dengan penyeliaan dan pemantauan oleh para pensyarah kompeten serta dibantu kakitangan sokongan berpengalaman dalam bidang kerja berkaitan.
Memetik ucapan Perasmian Penutupan YB Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) yang dibacakan oleh En. Shariman bin Jamil, Ketua Bahagian Pembangunan Bakat, MEITD amat percaya bahawa institusi TVET seperti Politeknik Kuching Sarawak (PKS) mampu menjadi antara institusi pendidikan yang berperanan penting dalam memberikan kemahiran TVET kepada generasi muda di negeri ini. Oleh itu, adalah menjadi harapan agar Politeknik Kuching Sarawak meneruskan usaha yang baik ini demi membantu perkembangan positif bidang TVET di Sarawak.

Accessibility Toolbar