FAQ POLITEKNIK KUCHING SARAWAK

Adakah Politeknik Kuching Sarawak (PKS) sebuah institusi pendidikan kerajaan?

Ya, Politeknik Kuching Sarawak merupakan sebuah institusi penuh kerajaan di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)

Di manakah lokasi kampus Politeknik Kuching Sarawak?

KM 22, Jalan Matang, 93050 Kuching, Sarawak

Apakah program-program pengajian yang ditawarkan di Politeknik Kuching Sarawak?

Program pengajian yang ditawarkan di PKS adalah pada peringkat Diploma iaitu :

A. Bidang Kejuruteraan :
1. Diploma Kejuruteraan Awam
2. Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan
3. Diploma Geomatik
4. Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik
5. Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi)
6. Diploma Kejuruteraan Mekanikal
7. Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif)
8. Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan)
9. Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan)
10. Diploma Kejuruteraan Proses (Petrokimia)

B. Bidang Teknologi Maklumat :
11. Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital)

Bidang Perdagangan :
12. Diploma Akauntansi
13. Diploma Pengajian Perniagaan

Adakah program-program pengajian di politeknik diikhtiraf oleh kerajaan?.

Semua program pengajian politeknik diikhtiraf oleh kerajaan dengan mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan bagi program kejuruteraan telah mendapat akreditasi daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM)

Selain Politeknik Kuching Sarawak, di manakah lagi Politeknik di Sarawak?

1. Politeknik Mukah, Sarawak (PMU)
2. Politeknik METrO Betong, Sarawak (PMBS)

Adakah Politeknik terdapat di seluruh Malaysia?

Ya. Pada masa sekarang terdapat 36 Politeknik di seluruh Malaysia.
Boleh merujuk senarai institusi Politeknik di seluruh negeri melalui menu Senarai Institusi di portal http://ambilan.mypolycc.edu.my

Politeknik Kuching Sarawak dikategorikan sebagai Politeknik Premier atau Politeknik Konvensional atau Politeknik METrO?

Politeknik Kuching Sarawak dikategorikan sebagai Politeknik Konvensional

Apakah syarat kelayakan permohonan kemasukan ke program pengajian diploma di Politeknik Kuching Sarawak?

Syarat kelayakan terperinci kemasukan diploma di PKS merujuk kepada syarat politeknik konvensional dan boleh dirujuk melalui menu Pengajian Sepenuh Masa di portal http://ambilan.mypolycc.edu.my

Berikut adalah ringkasan syarat diploma di PKS :

A. Semua Diploma Bidang Kejuruteraan bagi Lepasan SPM :

  1. Warganegara Malaysia
  2. Memiliki SPM atau setaraf
  3. Lulus Bahasa Melayu
  4. Lulus Sejarah (SPM 2013 dan ke atas)
  5. Lulus Bahasa Inggeris
  6. Mendapat TIGA (3) kepujian dalam mata pelajaran berikut:
  7. a. Mathematics
    b. SATU (1) matapelajaran Sains/Teknikal/Vokasional
    c. SATU (1) matapelajaran lain yang belum diambilkira kepujiannya

  8. Calon tidak mempunyai ketidakupayaan penglihatan (buta), ketidakupayaan pendengaran (pekak), ketidakupayaan pertuturan (bisu), ketidakupayaan fizikal (kaki, tangan, lumpuh, lain – lain) atau masalah pembelajaran yang menyukarkan kerja-kerja amali.
    Tambahan : Bagi Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) dan Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, calon tidak mempunyai ketidakupayaan penglihatan buta warna.

B. Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) dan Diploma Akauntansi

  1. Warganegara Malaysia
  2. Memiliki SPM atau setaraf
  3. Lulus Bahasa Melayu
  4. Lulus Sejarah (SPM 2013 dan ke atas)
  5. Lulus Bahasa Inggeris
  6. Mendapat TIGA (3) kepujian dalam mata pelajaran berikut:
  7. a. Mathematics
    b. DUA (2) matapelajaran lain yang belum diambilkira kepujiannya

  8. Calon tidak mempunyai ketidakupayaan penglihatan (buta), ketidakupayaan pendengaran (pekak), ketidakupayaan pertuturan (bisu), ketidakupayaan fizikal (kaki, tangan, lumpuh, lain – lain) atau masalah pembelajaran yang menyukarkan kerja-kerja amali.

C. Diploma Pengajian Perniagaan

  1. Warganegara Malaysia
  2. Memiliki SPM atau setaraf
  3. Lulus Bahasa Melayu
  4. Lulus Sejarah (SPM 2013 dan ke atas)
  5. Lulus Bahasa Inggeris
  6. Lulus Mathematics
  7. Mendapat LIMA (5) kepujian dalam mana-mana matapelajaran
  8. Calon tidak mempunyai ketidakupayaan penglihatan (buta), ketidakupayaan pendengaran (pekak), ketidakupayaan pertuturan (bisu), ketidakupayaan fizikal (kaki, tangan, lumpuh, lain – lain) atau masalah pembelajaran yang menyukarkan kerja-kerja amali

Bagaimana atau ada atau tidak kaedah mudah untuk menyemak kelayakan syarat masuk ke Politeknik?

Ya ada.
Boleh, dengan daftarkan keputusan SPM menggunakan eSemak http://ambilan.mypolycc.edu.my/esemak/index.asp

Bila permohonan untuk kemasukan ke diploma Politeknik boleh dibuat?

Permohonan kemasukan ke Politeknik dibut 2 kali setahun iaitu Sesi I dan Sesi II

Bagaimana kaedah permohonan kemasukan ke diploma Politeknik boleh dibuat?

Semua permohonan adalah secara atas talian di :

  1. Permohonan Kemasukan Sesi I boleh dibuat melalui portal UPUOnline https://upu.mohe.gov.my (bagi lepasan SPM) dan portal http://ambilan.mypolycc.edu.my (bagi lepasan sijil kemahiran).
  2. Semua Permohonan Kemasukan Sesi II 2021/2022 boleh dibuat melalui portal http://ambilan.mypolycc.edu.my.

Adakah lulusan sijil kemahiran boleh memohon masuk belajar di Politeknik?

Ya, boleh. Antaranya :

1. Sijil Politeknik.
2. Sijil Kolej Komuniti
3. Sijil Institut Kemahiran MARA (IKM)
4. Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3

Sila rujuk Portal Pengambilan Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti bagi ketetapan syarat kelayakan lulusan selain SPM terperinci) – portal http://ambilan.mypolycc.edu.my

Dimanakah iklan dan hebahan permohonan kemasukan ke Politeknik dibuat?

Bagi Kemasukan Sesi I :

Hebahan akan dibuat oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar IPT (BPKP IPT), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi melalui portal https://upu.mohe.gov.my dan media rasmi dan media sosial seperti facebook : Kemasukan BPKP JPT – FB rasmi UPU @UPUonlineBKPAJPT

Pihak Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) turut menguar-uarkan hebahan melalui portal rasmi iaitu portal http://ambilan.mypolycc.edu.my dan melalui media sosial seperti facebook : politeknik.edu dan Instagram: politeknikmalaysia

Pihak Politeknik Kuching Sarawak juga akan hebahkan iklan permohonan di portal rasmi : http://www.poliku.edu.my/ dan juga melalui media sosial seperti facebook : https://www.facebook.com/politeknik.kuching.sarawak dan Instagram : https://www.instagram.com/politeknikkuchingsarawak

Bagi Kemasukan Sesi II :

Pihak Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menguar-uarkan hebahan melalui portal rasmi iaitu portal http://ambilan.mypolycc.edu.my dan melalui media sosial seperti facebook : politeknik.edu dan Instagram: politeknikmalaysia

Pihak Politeknik Kuching Sarawak juga akan hebahkan iklan permohonan di portal rasmi : http://www.poliku.edu.my/ dan juga melalui media sosial seperti facebook : https://www.facebook.com/politeknik.kuching.sarawak dan Instagram : https://www.instagram.com/politeknikkuchingsarawak

Berapakah tempoh pengajian bagi program diploma yang ditawarkan di Politeknik?

Tempoh pengajian biasa adalah selama Enam (6) semester atau 3 tahun

Dalam masalah tertentu dengan peraturan tertentu, pelajar boleh diberi peluang lanjutan tempoh maksimum sehingga sembilan (9) semester.

Berapakah yuran pengajian bagi setiap semester?

Yuran Pengajian RM 200 / per semester

Apakah yuran lain selain yuran pengajian yang perlu dibayar oleh pelajar?

Yuran Asrama : RM 60 / per semester (kepada yang ditawarkan asrama/kolej kediaman.

Bagaimana kaedah pembayaran yuran di politeknik?

Pembayaran Yuran adalah melalui ePembayaran menggunakan JOMPAY

Berapakah kapasiti asrama/kolej Kediaman Politeknik Kuching Sarawak?

Asrama lelaki boleh menampung seramai 1058 orang
Asrama perempuan boleh menampung seramai 1200 orang
Jumlah keseluruhan : 2258 orang penghuni

Berapakah kapasiti pelajar Politeknik Kuching Sarawak?

5000 orang pelajar

Siapa yang diutamakan untuk tinggal di asrama/kolej kediaman?

1. Pelajar Baharu Semester 1
2. Semua pelajar senior dikehendaki memohon mendiami asrama setiap semester dan pemilihan akan dibuat oleh jawatankuasa pemilihan berdasarkan kriteria dan merit yang ditentukan.

Pelajar baharu semester 1 boleh memilih untuk tinggal di rumah/di luar kampus?

Boleh

Bolehkah pelajar membawa kenderaan masuk ke kampus?

Hanya pelajar luar kampus (harian) sahaja yang dibenarkan membawa kenderaan masuk ke kampus. Pelajar ini wajib mendaftarkan kenderaan, mendapatkan pelekat kenderaan dengan permohonan dikemukakan ke pejabat Hal Ehwal Pelajar. Pelajar hendaklah meletakkan kenderaan di tempat parkir pelajar yang disediakan sahaja.

(pelajar yang mendiami asrama tidak dibenarkan membawa kenderaan)

Adakah pelajar Politeknik Kuching Sarawak dilindungi insurans/takaful?

Ya. Semua pelajar dilindungi dengan Pelan Perlindungan Takaful Berkelompok Pelajar

Adakah makanan dan minuman pelajar disediakan?

Tidak. Makanan dan minuman dan kos lain ditanggung sendiri oleh pelajar

Adakah ada bantuan kewangan atau pembiayaan seperti pinjaman dan biasiswa layak dimohon oleh pelajar politeknik?

Pelajar politeknik layak untuk memohon bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak swasta di bawah skim biasiswa, dermasiswa, pinjaman atau one off seperti Skim Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dermasiswa B40 Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), Biasiswa Pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak (BPKNS), Pinjaman Pendidikan Yayasan atau Kerajaan Negeri dan lain-lain.

Boleh merujuk senarai di portal rasmi Politeknik Kuching Sarawak www.poliku.edu.my – Menu Pelajar -Maklumat Opsyen Biasiswa/Pinjman/Penajaan Pendidikan Pelajar

Bagaimana ibu bapa/penjaga dapat memantau prestasi pelajaran anak-anak?

Setiap pelajar mempunyai Penasihat Akademik (PA) yang dilantik mengikut kelas/seksyen. Ibu bapa/penjaga boleh menyimpan no. telefon PA bagi tujuan tersebut.

Terdapatkah sistem yang merekodkan prestasi akademik pelajar untuk ibu/bapa memantau pencapaian akademik pelajar?

Politeknik menggunakan Sistem Pengurusan Maklumat Pelajar (SPMP) bagi merekodkan pencapaian akademik dan butiran pelajar. Walau bagaimanapun, akses SPMP adalah untuk pelajar dan ibu bapa boleh meminta pelajar membuka bagi tujuan tersebut.

Dalam alasan yang tertentu seperti sakit dan lain-lain, bolehkah pelajar memohon menangguhkan pengajian?

Boleh. Pelajar hendaklah membuat permohonan dengan mengisi Borang Tangguh Pengajian yang ada disediakan di portal www.poliku.edu.my dan menghantar kepada Penasihat Akademik (PA). Seterusnya PA akan menghantarkan ke Jabatan Hal Ehwal Pelajar

Boleh atau tidak pelajar memohon bertukar/pindah ke politeknik lain atas sebab tertentu?

Boleh, pelajar hendaklah membuat permohonan dengan mengisi borang tersebut yang ada disediakan di portal www.poliku.edu.my dan menghantar kepada Penasihat Akademik (PA). Seterusnya PA akan menghantarkan ke Jabatan Hal Ehwal Pelajar pada minggu pengajian ke-14.

Pelajar dikehendaki untuk faham dan memastikan program diploma semasa ada ditawarkan di politeknik tersebut bagi mengelakkan pelajar kembali ke semester 1 semula.

Bagaimana proses pelajar yang ingin memohon berhenti pengajian?

Pelajar hendaklah membuat permohonan dengan mengisi Borang Berhenti Pengajian yang ada disediakan di portal www.poliku.edu.my dan menghantar kepada Penasihat Akademik (PA). Seterusnya PA akan menghantarkan ke Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Bagaimana pelajar dapat memohon surat pengesahan pelajar bagi tujuan rawatan di klinik/hospital kerajaan dan tujuan-tujuan lain?

Pelajar boleh terus menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelajar atau boleh menyatakan hasrat tersebut melalui Penasihat Akademik (PA). Surat akan disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Bagaimana untuk mendapatkan Surat Tamat Pengajian bagi pelajar yang telah tamat pengajian tetapi belum konvokesyen?

Pelajar boleh mendapatkan Surat Tamat Pengajian (Provisional) dan Surat Tamat Pengajian melalui laman www.poliku.edu.my/upep/ dengan memasukkan No. Kad Pengenalan dan No. Pendaftaran Pelajar untuk memuatturun atau mencetak terus surat tersebut secara online.

Bagaimana mendapatkan takwim akademik, hari kuliah, hari peperiksaan dan cuti pelajar?

Boleh merujuk Kalendar/Takwim Akademik dalam Menu Info Pendaftaran yang ada di portal www.poliku.edu.my

Bagaimana aduan boleh dilakukan oleh pelajar/staf, sekiranya kemudahan pelajar seperti katil, pintu, kipas, lampu, tandas dan lain-lain rosak?

Pelajar diminta untuk membuat aduan secara langsung melalui borang online e-Aduan UPS.

Sekiranya pelajar/staf demam atau sakit, adakah pusat rawatan disediakan?

Di PKS terdapat sebuah klinik dengan seorang (1) Penolong Pegawai Perubatan yang terletak di Blok Kediaman Pelajar.

Adakah perkhidmatan kaunseling sekiranya pelajar/staf inginkan nasihat berhubung masalah peribadi atau akademik?

PKS mempuntai tiga (3) Pegawai Psikologi yang sedia memberi khidmat kepada pelajar dan staf secara individu dan kelompok meliputi masalah akademik, sosial, peribadi, keluarga dan masalah kerjaya

Adakah talian kecemasan awam atau PKS disediakan sekiranya pelajar/staf mengalami masalah kecemasan

Talian Kecemasan PKS tersedia di paparan portal rasmi www.poliku.edu.my dan di sudut-sudut info yang disediakan di papan kenyataan. Pelajar/Staf digalakkan untuk menyimpan nombor talian tersebut.

Sekiranya pihak luar ingin berhubung atau menyampaikan aduan cadangan, aduan, komen atau maklum balas, di mana dan bagaimanakah untuk menyalurkannya?

Terdapat Borang Maklum Balas Online di portal rasmi www.poliku.edu.my yang mengalu-alukan sebarang maklum balas, cadangan atau komen bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan Politeknik Kuching Sarawak dibuat oleh pihak warga dan pihak orang luar.

Bagaimana untuk merujuk dan melihat info, aktiviti, suasana atau iklim persekitaran Politeknik Kuching Sarawak?

Untuk mengetahui sebarang perkembangan Politeknik Kuching Sarawak (PKS), orang awam dan pelajar PKS boleh melayari media sosial PKS dari masa ke semasa seperti berikut :

1. Portal rasmi : www.poliku.edu.my
2. Facebook : www.facebook.com/politeknik.kuching.sarawak
3. Instagram : www.instagram.com/politeknikkuchingsarawak
4. Twitter : www.twitter.com/politeknikkuch1
5. Youtube : Youtube Channel Politeknik Kuching Sarawak

Bagaimanakah untuk menghubungi Politeknik Kuching Sarawak?

Politeknik Kuching Sarawak
KM 22, Jalan Matang
93050 Kuching, Sarawak

Tel : 082-845 596
Faks : 082-845 023
emel : poliku.info@poliku.edu.my

Bagaimana untuk memohon jawatan sebagai pensyarah di politeknik?

Jawatan pensyarah di Politeknik adalah Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) yang akan berkhidmat di Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT);

Semua permohonan jawatan adalah di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang boleh dilakukan sepanjang tahun. Permohonan boleh dikemukakan melalui Sistem mySPP di https://myspp.spp.gov.my

Adakah Politeknik Kuching menyediakan wifi percuma?

Ya ada, kemudahan capaian wifi pelajar adalah percuma berdasarkan lokasi hotspot dalam kawasan liputan PKS-Wifi. Boleh dikatakan 90% kawasan kampus Politeknik Kuching Sarawak mempunyai liputan PKS-Wifi untuk kemudahan capaian pelajar terutama di kawasan blok kuliah, makmal, bengkel, perpustakaan dan kawasan asrama penginapan pelajar.

Bagaimana untuk mendaftar wifi percuma?

Akaun Wifi Percuma Pelajar baru akan didaftar secara pukal oleh pihak UICT setiap awal semester dan pelajar hanya perlu mengaktifkan id pengguna melalui Aplikasi storage SRPKS dengan menggunakan peranti komputer peribadi melalui Rangkaian SRPKS sahaja.

Panduan penggunaan wifi boleh dirujuk dalam Laman SRPKS yang hanya boleh dicapai melalui Rangkaian SRPKS dengan menggunakan id pengguna seperti berikut:

Userid: No. pendaftaran pelajar
Password: Boleh rujuk dalam website SRPKS di atas

Accessibility Toolbar