FAMA HULUR SUMBANGAN BANTU PELAJAR POLITEKNIK KUCHING TERUS PATUH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN FASA 3
KUCHING, 21 April 2020 — Politeknik Kuching Sarawak (PKS) menerima sumbangan pelbagai barangan makanan termasuk produk dan buah-buahan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak untuk para penuntut PKS yang kini terpaksa berada di asrama dan rumah sewa dalam tempoh panjang sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac lalu.
Encik Abdul Ja’afar bin Lian, Timbalan Pengarah (Operasi) FAMA Negeri Sarawak yang hadir ke kampus PKS di Jalan Matang telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada Pengarah PKS, Puan Jamaliah Ahmad, menyatakan bahawa sumbangan ini antara usaha dan komitmen FAMA melalui tanggungjawab sosial korporat meningkatkan kesejahteraan rakyat lebih-lebih lagi pada musim PKP masa ini.
Dalam pada itu, Jamaliah mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada FAMA yang sentiasa membantu PKS terutama sebagai rakan kolaborasi strategik agenda pembangunan pelajar dalam kluster keusahawanan dan beliau percaya sumbangan pada hari ini akan dapat memberi manfaat kepada 410 orang pelajar yang masih bertahan tinggal di asrama dan lebih 114 orang pelajar yang masih tinggal di rumah sewa berhampiran sekitar 10-15 km dari kampus. PKS juga telah mengesan dan membantu mengkreditkan bantuan kewangan kepada seramai 131 orang pelajar yang terkandas di seluruh Sarawak yang berstatus pelajar Latihan Indutri dalam tempoh PKP ini.
Jamaliah turut menasihati ibu bapa agar tidak terlalu bimbang tentang anak-anak kerana kebajikan mereka sentiasa diberi keutamaan.
Posted by Politeknik Kuching Sarawak on Selasa, 21 April 2020