KPDNHEP SERAH SUMBANGAN FOOD BANK SISWA KEPADA POLITEKNIK KUCHING SARAWAK DARIPADA ETIKA BEVERAGES SDN. BHD.
15 APRIL 2020 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sarawak telah menghantar dan menyerahkan sumbangan Food Bank Siswa berupa minuman pelbagai jenama dan rasa kepada Politeknik Kuching Sarawak (PKS) yang dimaklumkan daripada Etika Beverages Sdn. Bhd.
Ini merupakan serahan kali ke-2 dari pihak KPDNHEP kepada PKS yang diterima sendiri oleh Pengarah PKS, Jamaliah Ahmad untuk keperluan dan membantu meringankan bebanan pelajar serta keluarga yang tidak dapat balik ke kampung halaman berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan serahan pertama pada 24 Mac yang lalu berupa pelbagai jenis makanan ringan, makanan kering, minuman dan lain-lain.
Berikutan pengumuman kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan ke fasa ke-3 dari 15 hingga 28 April 2020, Jamaliah mengambil kesempatan memaklumkan agar pelajar terus kekal berada di lokasi masing-masing sehingga arahan terbaharu dikeluarkan dari masa ke semasa dan menasihatkan pelajar supaya terus mengambil langkah pencegahan seperti mencuci tangan, memakai topeng muka, mengamalkan penjarakan sosial setiap masa, berdoa agar wabak ini berakhir dan sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan.