Berita Dan Aktiviti PKS

25 Mar 2022

91.5 % PELAJAR KELUAR MENGUNDI PILIHAN RAYA KAMPUS (PRK) MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP) SESI 2022/2023 POLITEKNIK KUCHING SARAWAK

Khamis, 24 Mac 2022 – Pilihan Raya Kampus Perwakilan Pelajar telah berlangsung serentak di Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seluruh Malaysia termasuk di Politeknik Kuching Sarawak (PKS) pada hari ini.
Encik Ahmady Solong selaku Pengerusi Sekretariat Pilihan Raya Kampus PKS yang merupakan Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) telah mengumumkan keputusan PRK PKS kali ini dengan menyatakan bahawa peratusan pelajar keluar mengundi adalah sebanyak 91.5% daripada bilangan pelajar yang layak mengundi seramai 4383 orang yang terdiri daripada pelajar berstatus aktif dan aktif latihan industri melibatkan 6 jabatan akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam (3 program diploma), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (2 program diploma), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (4 program diploma), Jabatan Perdagangan (2 program diploma), Jabatan Kejuruteraan Petrokimia (1 program diploma) dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (1 program diploma).
Pelajar telah mengundi secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Maklumat Pelajar (SPMP) bermula jam 8:00 pagi sehingga 5:30 petang dan PKS turut menyediakan peranti bagi pelajar yang mempunyai masalah talian atau peranti untuk mengundi di dalam dewan serbaguna. Tambahnya dalam Majlis Pengumuman Keputusan Penuh PRK yang berlangsung di Dewan Jubli Perak (DJP) pada malam yang turut disaksikan oleh YBrs. Pengarah PKS, En. Hikmatullah Hajid Ahmad Khan.
PRK kali ini telah menampilkan seramai 10 orang calon Kerusi Umum yang bertanding merebut 7 jawatan Majlis Tertinggi MPP dan terdapat 31 orang calon Kerusi Jabatan bertanding merebut 21 jawatan biro-biro dalam MPP serta 3 biro lantikan terus tanpa bertanding.
Pengarah PKS telah mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua calon yang bertanding dan menyatakan menang dan kalah bukan menjadi ukuran tetapi keberanian dan berjaya trampil sebagai calon dalam pertandingan yang sihat sudah mengambarkan bahawa PKS memiliki bakat pemimpin dan menasihatkan agar turut merebut jawatan-jawatan dalam persatuan atau kelab pelajar sedia ada bagi mengasah dan menonjolkan bakat tersebut. Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada barisan MPP Sesi 2021/2022 yang diterajui oleh YDP, Saudara Awang Akbar Bin Awang Maulana atas khidmat cemerlang dan jasa yang diberikan untuk pelajar dan PKS.
Pada PRK 2022 ini, Irdina Nasuha binti Mohamad Nasir, pelajar Diploma Pengajian Perniagaan, semester 4 telah berjaya menerima undi tertinggi sebanyak 870 undi. Kedua, Izzabel Conrad, Diploma Geomatik, semester 4 (857 Undi), Ketiga, Awang Akmal Zulhisyam bin Awang Jamaludin, Diploma Pengajian Perniagaan, semester 4 (464 Undi) dan Andrian Kapi Anak Steven Carnos, Diploma Kejuruteraan Proses (Petrokimia) semester 4 dengan 352 undi. Turut hadir dalam majlis tersebut merupakan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, En. Mahathir bin Mohamad Kamin dan Cik Jenniecia Irdrinnie Allay, Pegawai Hal Ehwal Pelajar (Kebajikan, Disiplin dan Pembangunan Pelajar) yang merupakan Pengurus PRK dan Penasihat MPP.
Para pengundi di kalangan pelajar boleh menyemak keputusan dan senarai MPP Sesi II 2021/2022 dengan mengakses SPMP iHELP menu PRU Kampus mulai esok. Penghargaan dan terima kasih kepada para pengundi, jawatankuasa dan urusetia yang bertugas. Syabas dan selamat menjalankan tugas serta tanggungjawab kepada Barisan MPP 2022/2023.
Sekretariat Pilihan Raya Kampus 2022 &
Jabatan Hal Ehwal Pelajar
Politeknik Kuching Sarawak.

Accessibility Toolbar