Pengenalan Kepada Diploma Separa Masa (KSS)

PERLUASAN PELUANG MELANJUTKAN PENGAJIAN KE PERINGKAT DIPLOMA DALAM BIDANG KEJURUTERAAN, TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN PERDAGANGAN DI POLITEKNIK KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA
MELALUI
KURSUS SECARA SAMBILAN [KSS] – KURIKULUM BAHARU OUTCOME BASED EDUCATION [OBE]
SEBAGAI
PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT [PSH]
PENDAHULUAN

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia menghadapi tekanan dan cabaran besar dalam mendepani persaingan abad ke-21. Bagi merealisasikan cita-cita negara, satu usaha besar ke arah peningkatan daya saing, produktiviti serta inovasi negara harus dilaksanakan. Inilah yang akan menentukan kejayaan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara berasaskan pengetahuan. Berdasarkan perkara tersebut, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Ke-10 telah menetapkan pembangunan modal insan minda kelas pertama sebagai salah satu daripada lima teras pembangunan negara. Oleh itu, kerajaan berhasrat untuk menggerakkan satu usaha untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara pada semua peringkat termasuklah Politeknik di Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selaras dengan Teras Keempat, Pelan Strategik Pengajian Tinggi (PSPTN), iaitu Memperkasa Institusi Pengajian Tinggi dan Teras Keenam iaitu Membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat, politeknik juga tidak mahu ketinggalan dalam memberi kualiti pendidikan yang terbaik dalam penjanaan modal insan. Suasana pendidikan global masa kini semakin mencabar dan memerlukan tindakan luar daripada kebiasaan. Arus globalisasi menuntut perubahan sistem pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (Technical and Vocational Education and Training – TVET). Perubahan tersebut bukan sahaja melibatkan usaha bagi meningkatkan tahapnya ke peringkat yang lebih tinggi bahkan juga memerlukan tindakan perubahan yang menggabungkan produktiviti, kreativiti dan inovasi agar dapat melonjakkan politeknik sebagai peneraju TVET negara ke tahap yang lebih kukuh dan tinggi dalam rantaian nilai sektor pendidikan dan latihan.

Justeru, Pelaksanaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di politeknik menerusi medium Time Sector Privatisation (TSP) di bawah Akaun Amanah Latihan Khas Politeknik, KPT adalah suatu pendekatan pendemokrasian pendidikan melalui penawaran Kursus Secara Sambilan [KSS], kursus-kursus pendek, kursus terlanggan dan sebagainya. Politeknik akan menjadi institusi dan pusat kecemerlangan latihan yang relevan bagi memenuhi matlamat PSH negara melalui perancangan dan kendalian tadbir urus yang berdaya saing dengan pelbagai produk yang segar dan memenuhi keperluan pembangunan modal insan terutana TVET, mempunyai sumber yang berkemahiran dan pakar dalam bidang teknikal. KSS merupakan produk terlaris politeknik dalam memenuhi tujuan PSH dan KSS pada keluaran baharu ini lebih terbuka kepada semua golongan dengan mininima kelayakan SPM sebagaimana syarat-syarat yang telah ditetapkan.

KURSUS SECARA SAMBILAN [KSS] – KURIKULUM BAHARU

Bermula dan melalui Transformasi Politeknik, politeknik terus berkembang bukan sahaja kepada visi dan misi serta pertumbuhan bilangan politeknik semata-mata, malah politeknik bergerak selari dalam usaha untuk memastikan kualiti program akademik mematuhi ketetapan Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA). Bagi memastikan setiap program di politeknik mematuhi dan mendapat Akreditasi MQA, keperluan-keperluan pematuhan kepada setiap dokumen jaminan kualiti MQA amat ditekankan termasuk Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualification Framework, MQF), Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA), Kod Amalan Audit Institusi (COPIA), Garis Panduan Amalan Baik dan Standard Program, Standard Program Kejuruteraan dan Teknologi dan beberapa lagi dokumen MQA. Sehubungan itu, semua program sepenuh masa di politeknik terikat dalam mematuhi standard yang digariskan oleh MQA untuk melayakkan atau mendapatkan akreditasi daripada MQA termasuk kurikulum dengan penekanan antaranya dalam aspek hasil pembelajaran [Outcome Based Education, OBE] yang dicapai oleh pelajar dan juga aspek reka bentuk dan penyampaian kurikulum.

Berikutan itu, semua program pengajian diploma melalui Kursus Secara Sambilan [KSS] juga akan mengguna pakai akreditasi program sepenuh masa di mana mod pembelajarannya sahaja yang berbeza iaitu secara separuh masa.

KSS DAN SIJIL POLITEKNIK SERTA PERLUASAN SYARAT KEPADA LULUSAN SPM

Kursus Secara Sambilan (KSS) merupakan program pengajian politeknik yang dilaksanakan dalam mod separuh masa yang terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Politeknik, Sijil Kemahiran dan yang setaraf. Pengajian Diploma secara KSS sebenarnya telah wujud di politeknik semenjak tahun 2000 yang lalu iaitu dengan pemakaian standard Diploma Integrasi, di mana para pemegang dan lulusan sijil politeknik boleh melanjutkan pengajian ke peringkat diploma politeknik dengan kemudahan pemindahan kredit program sijil ke program diploma. Bermula dengan surat KPT.JPP (O).601-2/2/1 (03) bertarikh 02 November 2010 daripada Jabatan Pengajian Politeknik, KPT memaklumkan bahawa pengambilan pelajar baru KSS untuk Semester Disember 2010 dan seterusnya akan dibekukan berikutan penguatkuasaan pekeliling MQA Bil 2/2010 oleh Malaysian Qualification Agency (MQA).

Kini, selepas daripada hampir setahun, KSS baharu telah diiklankan pada 16 Oktober 2011 dengan wajah yang berdaya saing dengan kurikulum baharu – Outcome Based Education, OBE, dan perluasan syarat kelayakan masuk bermula dengan lulusan SPM sehinggalah lulusan Sijil Politeknik sendiri. KSS yang merupakan produk PSH – Pembelajatan Sepanjang Hayat Politeknik yang dulunya memberi ruang melanjutkan pelajaran lulusan Politeknik sahaja, kini boleh dipohon oleh lepasan SPM dan secara langsung membuka harapan kepada kebanyakan pemohon sekitar industri dan komuniti yang tiada kelulusan sijil politeknik sebagai batu loncatan.

Accessibility Toolbar