6
Dec
2022
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Politeknik Kuching Sarawak ke Asteel Sdn Bhd
6 Disember 2022 – satu program Lawatan Sambil Belajar Pelajar Politeknik Kuching Sarawak (PKS) ke Asteel Sdn Bhd (Cawangan Kuching), Sarawak telah dilaksanakan pada Khamis lepas (1 Disember 2022).
Lawatan ini telah diketuai oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Petrokimia, Khalid Husseine Tuah dan melibatkan 21 orang pelajar dan lima (5) orang pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Petrokimia dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.
Antara tujuan lawatan ini adalah untuk memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar tentang persekitaran kerja sebenar di industri dengan mengenalpasti konsep susunatur pemesinan, produk dan lain-lain yang menjurus kepada kursus Pengurusan Industri dan Sistem Pembuatan yang dipelajari di PKS.
Selain itu, para pelajar juga turut didedahkan tentang proses-proses kimia seperti proses penyalutan warna pada produk di samping mengetahui proses pembuatan untuk penghasilan atap dan produk akhir besi menerusi proses ‘pipe rolling mill’, ‘shearing’, ‘roll forming’, ‘steel fabrication’ dan seumpamanya.
Malah, proses pengendalian bahan (material handling equipment) juga turut diperjelaskan. Aspek-aspek keselamatan dan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (Total Quality Management) juga turut diberi penekanan agar dapat memastikan produktiviti kerja berjalan lancar.
Tinah Jerome selaku Pengarah Hal Ehwal Korporat Asteel Group berharap agar program lawatan industri dapat memberi impak positif kepada pelajar PKS untuk mendalami proses pembuatan berasaskan besi yang dipelajari di PKS.
Sebelum ini, pihak Asteel Group telah menandatangani sijil kolaborasi strategik bersama PKS untuk memperkasa perkongsian ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang kejuruteraan.
Untuk maklumat lanjut sila layari facebook Politeknik Kuching Sarawak.