Berita Dan Aktiviti PKS

28 Jul 2024

LAWATAN KERJA DAN JEJAK TVET MADANI YB TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

KUCHING, 27 JULAI 2024 – YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi telah mengadakan Lawatan Kerja ke Politeknik Kuching Sarawak (PKS) bersempena dengan program Jejak TVET MADANI. YB Timbalan Menteri telah disambut oleh Pengurusan Tertinggi Politeknik Kuching Sarawak yang diketuai oleh YBrs. Encik Samsudin bin Mohd. Saleh, Pengarah Politeknik Kuching Sarawak merangkap Pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Sarawak.
Sesi lawatan kerja ini dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengarah PKS, YBrs. Encik Samsudin bin Mohd. Saleh berkaitan pengenalan dan hala tuju PolyCC Zon Sarawak dan Politeknik Kuching Sarawak. Selain itu, program bicara santai bersama ahli Majlis Perwakilan Pelajar turut diadakan bagi mendapat gambaran dan pendapat golongan mahasiswa dalam usaha memperbaiki dan memperhalusi isu dan permasalahan yang dihadapi oleh golongan mahasiswa.
Dalam kerangka sesi lawatan ini juga,YB Timbalan Menteri turut menjejak alumni PKS, Ts. Mohd. Hamzah Man di premis perniagaannya yang terletak di Bandar Baru Semariang bersempena Jejak TVET MADANI. Ts. Mohd. Hamzah Man menubuhkan Syarikat Kejuruteraan AUM Sdn Bhd merupakan alumni keluaran TVET yang berjaya dan seterusnya memberi sumbangan balas kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Sebelum mengakhiri lawatan, YB Timbalan Menteri menyampaikan plak Jejak TVET MADANI kepada Ts. Mohd. Hamzah Man sebagai tanda kenangan.
Turut hadir ialah Pengarah-Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak serta barisan pengurusan Politeknik Kuching Sarawak.
📸 Mohamad Hadzli bin Othman
Sila layari facebook rasmi Politeknik Kuching Sarawak untuk maklumat lanjut

Accessibility Toolbar