Berita Dan Aktiviti PKS

21 Jan 2026

PROGRAM PERDANA LITERASI KEWANGAN PERINGKAT IPTA/IPTS 2026 PERKASA KESEDARAN KEWANGAN BELIA

Politeknik Kuching Sarawak (PKS) dengan kerjasama Jabatan Insolvensi Malaysia telah menganjurkan Program Perdana Literasi Kewangan Peringkat IPTA/IPTS 2026 bertempat di Dewan Jubli Perak, PKS dengan penyertaan seramai 200 orang pelajar PKS.
Program ini merupakan langkah proaktif di bawah aspirasi Kerajaan MADANI dalam meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan belia, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi yang bakal melangkah ke alam pekerjaan. Pelaksanaan program ini bukan sahaja memberi kesedaran awal mengenai pengurusan kewangan berhemah malah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam melahirkan generasi yang celik kewangan dan bertanggungjawab.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah Insolvensi Negeri Sarawak, Puan Adibah Husna binti Zainal Abidin. Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah Insolvensi Bahagian Dasar dan Perundangan, Putrajaya, Tuan Mohamad Hafisol bin Yusoff, Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, Encik Mohamad Nazri bin Ismail, Timbalan Pengarah (Akademik), Ts. Aidawati binti Mustapha serta Pegawai Insolvensi Kanan I, Putrajaya, Encik Romzan bin Bujang.
Pengisian utama program ialah Sesi Forum Literasi Kewangan bertajuk β€œπΉπ‘Ÿπ‘œπ‘š πΆπ‘Žπ‘šπ‘π‘’π‘  π‘‘π‘œ πΆπ‘Žπ‘Ÿπ‘’π‘’π‘Ÿ: Kecilkan Hutang, Besarkan Simpanan” yang telah dikendalikan oleh Tuan Mohamad Hafisol bin Yusoff selaku moderator. Forum ini menampilkan panel jemputan terdiri daripada Encik Timothy Jamit anak Bilong, Puan Didi Reena binti Matzen, Encik Yeo Wee Kiak dan Puan Salina binti Mohd Salleh yang berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan pengurusan kewangan, perancangan hutang dan simpanan sejak di bangku pengajian.
Selain itu, program ini turut diserikan dengan Sesi Kuiz Literasi Kewangan yang bertujuan menguji kefahaman peserta, sekali gus meningkatkan penglibatan pelajar secara interaktif melalui penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat memberi pendedahan dan manfaat berterusan kepada pelajar dalam membentuk amalan kewangan yang bijak seterusnya menyokong usaha kerajaan melahirkan graduan yang bersedia dari segi ilmu, kemahiran dan pengurusan kewangan peribadi.
Foto Mohamad Hadzli bin Othman

Accessibility Toolbar