Berita Dan Aktiviti PKS

11 Mar 2026

KETUA PENGARAH SANTUNI WARGA POLYCC ZON SARAWAK, IMBAU NOSTALGIA PERKHIDMATAN DI PKS

10 MAC 2026 | SELASA. Warga Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Sarawak berhimpun dalam Majlis Perhimpunan PolyCC Zon Sarawak 2026 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching Sarawak (PKS) dengan kehadiran YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
Dalam amanatnya, beliau mengimbau kembali kenangan sepanjang tempoh perkhidmatannya di PKS dari tahun 1992 hingga 1999. Beliau menyifatkan PKS sebagai tempat yang amat bermakna kerana di sinilah beliau memulakan kerjaya serta membina kehidupan bersama keluarga.
Beliau turut mengajak warga PolyCC memanfaatkan bulan Ramadan untuk memperkukuh keikhlasan, meningkatkan amalan serta melakukan muhasabah diri. Dalam masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan atas pelbagai pencapaian warga PolyCC Zon Sarawak sepanjang tahun 2025 serta menekankan kepentingan dedikasi, peningkatan kompetensi diri dan semangat kerja berpasukan dalam memastikan kecemerlangan institusi terus diperkasa.
Dalam majlis yang sama, turut disaksikan pelancaran International Journal of TVET Studies (IJTVET) sebagai usaha memperkukuh budaya penyelidikan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Turut diraikan ialah persaraan Ketua Jabatan Perdagangan, Puan Hajah Normala binti Jaya yang telah menabur bakti selama 30 tahun. Dalam ucapan beliau, Puan Hajah Normala menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan serta seluruh warga PKS atas sokongan dan kenangan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Majlis ini menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat kebersamaan warga PolyCC Zon Sarawak dalam usaha memperkasa pendidikan TVET serta mendidik anak bangsa ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
Foto: Mohamad Hadzli bin Othman (UIDM)