PERKONGSIAN MAKLUMAT BIASISWA DAN PROGRAM ACCA OLEH SUNWAY COLLEGE KUCHING
16.12.2022 ,JUMAAT .Pihak Sunway College Kuching dengan kerjasama Sunway Education Group telah mengadakan satu perkongsian maklumat berkenaan peluang biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan khususnya dalam ACCA Qualification. Tujuan perkongsian ini adalah sedikit sebanyak membantu pelajar-pelajar semester lima Diploma Akauntansi yang sedia ada untuk mengetahui peluang biasiswa yang ada dan bagaimana cara menyambung pelajaran dalam salah satu cabang iaitu dengan mengambil ACCA.
ACCA adalah singkatan bagi “Association of Chartered Certified Accountant”. Ianya merupakan satu badan perakaunan professional antarabangsa dan salah satu laluan untuk menjadi akauntan yang bertauliah. Para pelajar boleh ikuti program ACCA selepas tamat pengajian mereka di peringkat Diploma dan mereka akan diberikan pengecualian untuk mengambil 3 Kertas di bawah Applied Knowledge iaitu Business and Technology , Management Accounting dan Financial Accounting. Pihak Jabatan Perdagangan, PKS akan membuat permohonan pengecualian bagi kertas Corporate and Business Law selepas peljar kohort pertama kurikulum tamat pengajian. Perkongsian maklumat ACCA ini disampaikan oleh Cik Priscilla Simon, Education Course Counselor-Marketing. Dengan adanya jaringan kolaborasi di antara pihak Sunway College Kuching dan Politeknik Kuching Sarawak, maka pihak Sunway College Kuching menawarkan biasiswa sebanyak 50% kepada pelajar lepasan Diploma Akauntansi.
Selain itu, para pelajar juga berpeluang memohon 100% biasiswa penuh dari beberapa skim yang ditawarkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di antaranya adalah Skim Professional Development Programme (Pro-P). Perkongsian maklumat biasiswa ini disampaikan oleh Puan Norlela binti Abdul Rahman, Head-Sponsorships/ Scholarship Marketing, Sunway Education Group. Professional Development Programme (Pro-P) adalah program penajaan pelajaran berbentuk Pinjaman Boleh Ubah di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke peringkat Profesional/Pakar di Institusi Pengajian Tinggi terkemuka dalam negara kepada graduan cemerlang dalam bidang yang memberi impak yang besar kepada keperluan guna tenaga negara. Selain itu, para pelajar juga boleh memohon biasiswa penuh dari Yayasan Peneraju untuk program profesional perakaunan.
Dengan adanya program seperti ini, ia dapat membuka minda para pelajar dengan lebih meluas mengetahui pelbagai skim biasiswa yang ditawarkan untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi dan juga salah satu laluan untuk menjadi akauntan bertauliah memandangkan Malaysia mensasarkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang tahun 2030. Walaupun dunia digital semakin berkembang, tetapi profesion perakaunan tetap diperlukan dan masih relevan kerana tidak semua aspek boleh digantikan dengan teknologi terutamanya dari aspek membuat keputusan. Kelayakan ACCA ini adalah setaraf dengan mereka yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan program ACCA juga boleh diikuti oleh para pelajar yang tidak mempunyai Diploma dalam bidang perakaunan. Kesemua peperiksaan ACCA akan dikendalikan oleh pihak ACCA United Kingdom dan pihak Sunway College Kuching adalah sebagai salah satu Tuition Provider di Malaysia yang telah diiktiraf oleh ACCA, UK. Mod pengajian yang ditawarkan oleh Sunway College Kuching untuk program ACCA ialah mod separuh masa sahaja di mana kelas akan diadakan sama ada pada hari bekerja (selepas waktu kerja) atau di hujung minggu (Sabtu-Ahad). Ini adalah untuk membolehkan para pelajar bekerja sambil belajar dan sekaligus mengumpul pengalaman kerja selama 3 tahun. Selepas pelajar lulus mengambil kesemua kertas yang ditawarkan oleh ACCA, para pelajar perlu melengkapkan kursus Professional Ethics and Professional Skills dan mempunyai 3 tahun pengalaman bekerja dalam bidang perakaunan untuk melayakkan para pelajar diiktiraf sebagai ACCA Membership.
Laporan disediakan oleh
CIK NOOR DASREENA SHUKRIA BINTI ABDUL SHUKUR, A.M (M)
KETUA PENYELARAS KOLABORASI JABATAN PERDAGANGAN
POLITEKNIK KUCHING SARAWAK