Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Selamat datang dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pengunjung laman web rasmi Politeknik Kuching Sarawak (PKS).
Sejak penubuhannya pada tahun 1988, PKS terus komited dalam menyediakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang relevan, inklusif dan berkualiti selaras dengan keperluan industri serta aspirasi pembangunan negara. Laman ini menjadi salah satu medium penting untuk menyampaikan maklumat berkaitan program pengajian, aktiviti institusi dan peluang kerjasama kepada masyarakat umum, pelajar, industri serta pihak berkepentingan.
Selaras dengan visi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk menjadi Peneraju Institusi TVET yang Unggul, PKS kini menawarkan 13 program Diploma yang merangkumi pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, perdagangan dan teknologi maklumat.
Bermula tahun 2025, Politeknik Kuching Sarawak menawarkan Program Asasi Teknologi Kejuruteraan selama dua semester bagi calon lepasan SPM. Program ini menyediakan asas kukuh dalam sains dan teknologi serta laluan langsung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan.
Lepasan program akan diberi keutamaan melanjutkan pengajian ke universiti di bawah rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN), iaitu Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah mengikut kesesuaian bidang yang menjadi pilihan pelajar.
Sebagai sebuah institusi TVET yang bertapak di Borneo, PKS akan terus memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran, beretika dan berdaya saing. Usaha ini turut diperkukuh melalui kolaborasi strategik bersama pihak industri dan komuniti, bagi memastikan graduan kami kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan masa kini.
Saya berharap laman ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai sumber maklumat, rujukan dan inspirasi oleh semua pihak termasuk pelajar, ibu bapa, rakan industri, komuniti serta agensi kerajaan.
Sama-sama kita menyokong usaha memperkasakan pendidikan TVET demi masa depan negara yang lebih cemerlang.
Sekian, terima kasih.
Pengarah
Politeknik Kuching Sarawak
Accessibility Toolbar