Laman Utama Akademik Jabatan Kejuruteraan Petrokimia Pengenalan

Jabatan Kejuruteraan Petrokimia

“Organized, Ideal, Lead” (OIL)
PENGENALAN

Unit Teknologi Petroleum telah ditubuhkan dengan kerjasama Pusat Teknologi Minyak dan Gas (PTMG) yang ketika itu bertempat di Politeknik Kuching Sarawak PKS pada tahun 1998. Semasa itu, Unit ini berfungsi untuk menguruskan kursus-kursus di peringkat sijil yang berasaskan petroleum iaitu Sijil Kejuruteraan Elektrik (Petroleum), Sijil Kejuruteraan Elektronik (Petroleum), Sijil Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum). Sebelum itu, kursus-kursus ini adalah di bawah seliaan Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal. Setahun kemudian iaitu pada sesi Januari 1999, pengambilan graduan pertama bagi sebuah lagu kursus baru iaitu Sijil Kejuruteraan Kimia dan Proses telah terlaksana.

Peningkatan pelajar yang meningkat untuk kursus-kursus yang ditawarkan sehingga menjangkau hampir 600 – 700 pelajar bagi setiap semestar membuka kepada cadangan penubuhan sebuah jabatan sendiri. Maka dengan iltizam itu sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Teknologi Petrokimia telah di tubuhkan pada Januari 2001 oleh pihak pengurusan dalaman Politeknik Kuching Sarawak. Antara tujuan utama kepada penubuhan JTP adalah untuk menguruskan perjalanan kursus-kursus berasaskan petroleum agar menjadi lebih sistematik dan mencapai misi dan visi Politeknik Malaysia.

Penubuhan JTP banyak mengambilkira kerjasama dengan pihak Petronas Sdn.Bhd Wilayah Sarawak melalui Pusat Teknologi Minyak dan Gas (PTMG). Ini termasuklah khidmat nasihat, kursus pembangunan sumber manusia dan sumbangan pelbagai peralatan, mesin serta aset untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Jumlahnya dianggarkan bernilai berjuta-juta ringgit termasuk penyerahan secara rasmi bangunan dan aset PTMG kepada PKS pada 3 September 2003. Jumlah itu sebahagian besarnya diserahkan kepada JTP oleh pihak PKS.

Sehingga kini penubuhan JTP disokong dan dilengkapkan lagi dengan perlantikan Ketua Program Kimia Sumber, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebagai panel penasihat rasmi jabatan bagi sebarang rujukan dalam pengendalian aktiviti, khidmat nasihat kurikulum atau kursus yang berkaitan secara langsung dengan kimia pada 28 Mac 2006. Ini bagi memastikan kewibawaan dan kualiti JTP tidak diragui.

Penubuhan JTP sebagai satu-satunya jabatan aktif yang menawarkan kursus-kursus berasaskan petroleum melalui modul-modul kod G yang hanya terdapat di PKS & mendapat perhatian Politeknik-politeknik KPTM sejak dahulu lagi. Ini sudah pastinya menaikkan nama PKS kerana memiliki sebuah jabatan yang istimewa dan tidak terdapat di Politeknik-Politeknik lain di Malaysia.  Kini JTP telah ditukar dengan nama baru Jabatan Kejuruteraan Petrokimia (JKPK) pada 20 Mac 2010.

Keperluan Kepada Penubuhan

  • Pengiktirafan Jabatan Teknologi Petrokimia sebagai jabatan akademik yang sah di Politeknik Kuching Sarawak.
  • Mewujudkan satu jabatan yang mempunyai identiti dan pengurusan sendiri dari segi keupayaan sumber manusia (staf), aset, belanjawan dan pelanggan (pelajar).
  • Mengguna, memperbaiki dan melengkapkan kelebihan-kelebihan yang sedia ada dari segi aset peninggalan syarikat minyak dan gas (Petronas dan Shell) untuk keperluan kurikulum program berkaitan yang ditawarkan yang merupakan satu kelebihan kepada pelanggan.
  • Melatih bakal juruteknik dan pembantu jurutera dalam bidang teknologi petroleum dan petrokimia.
  • Memenuhi keperluan tenaga kerja separa profesional negara dalam bidang teknologi petroleum dan petrokimia.
  • Menjadi pusat latihan dalam bidang teknologi petroleum dan petrokimia kepada industri-industri berdekatan.
  • Menyediakan latihan lanjutan kepada tenaga kerja industri berkenaan.