5 Jun 2017M / 10 Ramadan 1438H - Bubur Lambuk Otai telah sinonim dengan bulan Ramadan sehingga tiadanya seolah-olah tidak lengkap musim buah Ramadan dan Program Iftar yang dijadualķan kepada sukarelawan-sukarelawan jabatan, unit, kumpulan mahupun individu di Politeknik Kuching Sarawak (PKS) yang dianjurkan oleh Pusat Islam.

Sekumpulan Pensyarah dan kakitangan PKS sepakat secara sukarela untuk memasak dan menyediakan Bubur Lambuk sebagai antara juadah berbuka puasa untuk diberi dan diagihkan kepada para pelajar dan para staf PKS.

Menurut En. Abdul Rashid Hassan yang juga Pensyarah Utama, Jab. Kej. Mekanikal (JKM) dan En. Samsudin Mohd Saleh, Pensyarah Utama, Jab. Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) menyatakan bahawa program ini merupakan aktiviti saban tahun apabila tibanya Ramadan dan dilakukan secara bekerjasama tanpa mengganggu tugasan hakiki semasa serta sebagai satu amal sunat sebagaimana dalam satu hadith shahih : "sesiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut". Kumpulan ini menggabungkan orang lama dan pensyarah muda dan pertengahan bersama-sama sepakat melaksanakan program ini setelah salah seorang daripada kami yang juga pensyarah senior JKM PKS iaitu En. Rashidi Abd Rahaman telah bersara pada Mei yang lepas.

Ujar mereka lagi, kebiasaannya, tidak kurang daripada sekali pada setiap minggu aktiviti ini akan dilakukan dengan pelajar juga turut serta membantu dan secara tidak langsung antara staf dan pelajar dapat mengeratkan ukhuwah di samping mempelajari kaedah memasak bubur lambuk yang disediakan secara banyak, selain sebagai usaha dan tunjuk ajar kepada generasi baru. Mereka berbangga kerana kumpulan yang terdiri daripada pensyarah muda turut menyertai program ini dan menjadikan penyediaan bubur lambuk lebih ringan, mudah dan meriah.

 

* Sila rujuk facebook rasmi Politeknik Kuching Sarawak untuk maklumat lebih lanjut.